TIPS UMRAH MENGGUNAKAN KERUSI RODA

Membawa ibu bapa yang sedang uzur atau pasangan yang istimewa dan tiada keupayaan untuk berdiri dengan lebih lama menjadi persoalan utama bagaimana kita ingin menguruskannya di Tanah Suci. Adakah akan menyusahkan jemaah-jemaah lain? Yang utama adalah pengiring mereka. Tidak boleh dibiarkan mutawwif Travel Agensi yang mengelolakan kerana mutawwif atau wakil perlu menjaga jemaah lain yang bersama rombongan.

Paling penting bersedialah dari aspek emosi dan fizikal. Anda akan menyorong mereka di lapangan terbang, hotel ke masjid, ketika ziarah dan sepanjang kembara umrah. Kena fit dan tabah hati. Cabaran datang kerana lokasinya besar, orangnya ramai, karenah pula pelbagai ragam.

DI LAPANGAN TERBANG
1. Kerusi roda perlu balut dan masukkan ke dalam kargo ketika ‘check-in’. Gunakan kemudahan kerusi roda airport untuk bergerak ke ‘boarding area’. Jika nak guna kerusi roda sendiri, kena ikut spesifikasi khas ( Kerusi roda khas) yang membolehkan ia melalui di celah-celah tempat duduk penumpang. Kalau ada bajet, belilah ‘travel wheel chair’. Agak kecil, tahan lasak dan sesuai untuk ke sana-sini.

2. Ketika check-in juga, minta petugas kaunter berikan kerusi duduk dalam pesawat berhampiran tandas untuk memudahkan urusan buang air. Pramugari akan bantu anda untuk urusan itu. Untuk mudahkan anda, dapatkan khidmat pembantu (Tukang Tolak) ketika check-in. Dia akan terus bawa pasangan anda ke ‘boarding area’ dan terus ke dalam kabin. Jika transit, umpamanya dari KL- Jeddah, penerbangan Emirates, pasti akan transit di Dubai. Jadi tunjukkan ‘boarding pass’ di pintu luar kabin, akan ada orang menunggu untuk membawa mereka terus ke ‘boarding’ berikutnya ( Dubai-Jeddah)

3. Bila ‘landing’ di Jeddah atau Madinah, anda yang harus menolak dan menyorong mereka. Ke tempat ‘luggage’, singgah tandas, menuju ke bas. Pada masa juga kena bawa troli beg lagi. Jadi, kalau pergi dengan pasangan atau ibu bapa yang berkerusi roda, sebaiknya kalau ada 2 ‘escort lebih baik. Jika tidak, terpaksa minta bantuan jemaah lain untuk bawakan beg. Melainkan pasangan atau ibu bapa anda boleh menolak sendiri.

KETIKA MELAKUKAN UMRAH
1. Untuk melakukan tawaf, saie dan tahalul, ada 2 pilihan. Pertama, upah tukang sorong ( Deal sendiri @ bantuan mutawwif) dengan harga SR300 untuk semua urusan itu. Dia akan ambil pasangan@ibu bapa anda di hotel, terus tawaf dan saie serta tahallul dan dihantar semula ke hotel. Anda boleh umrah ikut jemaah lain. Pilihan kedua ialah anda menolak sendiri dari tawaf, saie dan tahallul. Dari hotel ke Masjidil Haram kembali ke hotel semula. Di sini cabaran amat besar kerana laluan ke Masjidil Haram biasanya sesak. Memerlukan ketabahan mental dan fizikal.

BAGAIMANA NAK KE MASJID 
1. Untuk solat 5 waktu, sebaiknya pergi 1 jam sebelum setiap waktu solat untuk elak kesesakan. Boleh bawa mereka solat di tingkat atas masjid, di ruang dalam masjid kecuali lantai tawaf. Ada polis yang menjaga dan tidak membenarkan kerusi roda atau stroller masuk. Sekarang apabila ‘mataf’ dibuang, saya kira mungkin ada laluan khas di lantai tawaf untuk anda.

2. Sebelum ke masjid, minta pasangan anda atau ibu bapa, selesaikan urusan tandas mereka terlebih dahulu supaya tidaklah nanti terpaksa bergegas ke tandas di masjid. Tambahan pula orang ramai. Jadi kurangkan minum air sebelum ke masjid. Tandas pula di perkarangan. Tiada di dalam.

3. Tidak mesti setiap waktu anda menolak mereka ke masjid. Lihat pada kekuatan kita. Jika perlu tenaga, rehat di hotel pada waktu Zohor, pergi Asar terus maraton ke Isya. Atau rehat Zohor Asar. Pergi Maghrib dan Isya. Ukur kekuatan anda. Jangan lupa juga ukur jarak hotel anda ke masjid.

4. Bawa sedikit makanan dan minuman dalam beg kecil anda. Jika teras lapar, boleh mengunyah tanpa perlu keluar masjid untuk membeli makanan.

BERAPA KALI UMRAH MEREKA PERLU BUAT
1. Saya kira memadai sekali sahaja. Jika nak buat kali kedua pun boleh. Ulang proses macam biasa. Lebih baik anda bawa mereka lakukan tawaf sunat, solat sunat tawaf di sekitar belakang maqam ibrahim dan berdoa di Multazam. Itu lebih baik untuk mereka.

KETIKA ZIARAH
1. Anda boleh ikut rombongan jemaah lain untuk melakukan ziarah luar sama ada Makkah atau Madinah. Cuma perlukan masa sedikit. Kerusi roda boleh dibawa naik ke dalam bas atau ke ‘perut bas’ dan papah ibu bapa@pasangan anda naik ke dalam bas. Ada lokasi yang perlu mereka turun dan ada yang cukup dengan menunggu di dalam bas sahaja. Tidaklah setiap tempat mereka perlu turun. Kalau Ziarah Makkah, ketika Jabal Nur dan Jabal Thur, termasuk di Arafah memadai dengan melihat di dalam bas tanpa perlu turun.

BARANG KEMBARA
Minimumkan ‘luggage’ anda. Memang kapasiti seorang 30kg. Ada keperluan untuk anda membeli cenderamata@ ole ole untuk keluarga. Namun, berpadalah. Istighfar dulu sebelum membeli bimbang anda ‘dikaburi dunia’.

Pengalaman sendiri menyorong ayah ketika di Tanah Suci pada 2009 banyak memberikan kesempatan terbaik untuk mengajar diri.

Elakkan dari merungut atau mengeluh. Berbicaralah dengan bahasa yang baik dengan mereka.

Besar pahala kita bawa mereka. Jangan bocorkannya dengan rungutan, sesalan dan sumpah seranah kita.

Siapa tahu, mungkin itu khidmat terakhir kita pada mereka. Dan Tuhan sedang memberikan kita sebab untuk melangkah ke SyurgaNya.

 

Ustaz Azizul Asri Ahmad Tajuddin 

(PU Suffah Travel)

https://www.facebook.com/search/top/?q=KERUSI%20RODA%20TED%20AZIZ&epa=SEARCH_BOX

Kongsikan untuk manfaat bersama:

Share on facebook
Facebook
Share on telegram
Telegram
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply

Artikel Berkaitan:

Close Menu
Need Help? Chat with us
×
×

Cart